~Kisah Cinta Ku~

Sebutir Mutiara Hikmah

Menuju ke Gerbang Hakiki~

Filed under: Uncategorized — mutiarahati at 7:16 am on Sunday, June 5, 2005

Untuk kali kesembilan, hari ini, Munirah meneliti senarai tetamu jemputan. Setiap nama diteliti dan kemungkinan ada beberapa nama baru hendak ditambah. Setelah itu dibelek-beleknya pula contoh "potpourri" yang bakal dijadikan cenderahati untuk dibawa pulang oleh para tetamu nanti.

"Hai tak tidur lagi?"

Terkejut, Munirah berpaling.

"Mama ni, buat terkejut orang je. Tak boleh nak lena lah mama. Banyak hal yang belum selesai.’

"Ala … Bukan nak kenduri esok. Dua bulan lagi. Tidurlah. Esok nak kerja. Nanti lena pulak depan pelajar," nasihat ibunya dengan lembut.

"Oklah Mama tidur dulu. Sekejap lagi Irah tidur." Rahimah berlalu meninggalkan Munirah terkebil-kebil menatap potpuri yang masih di tangannya. Walaupun masih ada masa dua bulan untuk menyempurnakan persiapan perkahwinannya, namun Munirah cukup cemas. Dia tidak mahu kendurinya nanti ada sebarang kekurangan atau cacat cela yang bakal mengundang umpat keji saudara mara. Dia perlu jaga statusnya sebagai seorang pensyarah.

Munirah terkenangkan bakal tunangnya, Razak yang kini sedang berkursus di Selatan tanahair. Dia telah menjalinkan hubungan dengan Razak sejak di tahun pertama waktu sama-sama menuntut di sebuah universiti yang sama. Hanya setelah masing-masing tamat pengajian dan memulakan karier, barulah mereka mengambil kata sepakat untuk mendirikan rumahtangga. Setelah bertahun-tahun berhubungan, Munirah yakin dia telah cukup mengenali hati budi Razak. Baginya Razaklah lelaki yang sesuai dijadikan suami kerana sikapnya yang sangat bertanggungjawab dan penyayang, Munirah membayangkan hari-hari depan yang indah setelah diijabkabulkan nanti.

Munirah dan Razak bercadang untuk berbulan madu di Bali. Mereka juga telah membeli sebuah rumah sebagai persediaan untuk hidup bersama, sebaik sahaja mengikat tali pertunangan. Masing-masing bersetuju untuk menimang 4 orang cahaya mata sahaja. Takut kalau ramai sangat anak, tidak mampu pula untuk biayai pelajaran mereka. Maklumlah era cyber ini, semuanya memerlukan duit. Itulah perancangan akal cetek mereka. Terlupa bahawa perancangan Tuhan mengatasi perancangan manusia.

Sejak bertunang setahun lalu Munirah mula membuat persiapan perkahwinan secara berdikit-dikit. Hampir setiap hari dia membelek majalah yang memaparkan pakaian pengantin, gubahan hantaran, contoh rekaan pelamin serta serba mak nenek yang berkait dengan kenduri kahwin mengikut trend semasa. Melalui temannya yang bercuti ke luar negara, dia mengirimkan beberapa barangan berjenama untuk dijadikan hantaran. Setiap hujung minggu pula dia menjelajah dari satu butik ke satu butik untuk mencari pakaian yang sesuai untuk majlis berkenaan. "Ala, sekali seumur hidup. Lagipun kan Irah anak bongsu mama. Lepas ni dah tak payah buat kenduri kahwin lagi. Apa salahnya berhabis habisan untuk kenduri Irah ni," jawab Munirah bila ditegur ibunya.

Rahimah bukan tidak bersetuju dengan perancangan Munirah untuk mengadakan kenduri besar-besaran. Memang dia berkemampuan pun. Cuma hatinya masih sedih mengenangkan perkahwinan kakak Munirah, Salasiah 5 tahun yang lalu. Waktu itu kendurinya memang besar. Jadi sebutan orang. Bagaimanapun, rumahtangga yang dibina hanya bertahan selama dua tahun. Selepas mendapat anak seorang, mereka bercerai dan masing-masing membawa haluan sendiri.

Kini dialah yang membela anak mereka. Bukan dia keberatan untuk membela cucu sulungnya itu, cuma hatinya pedih bila mengenang nasib budak itu yang kehilangan kasih ibu bapa. Manakala ibu dan bapanya masih ingin hidup bebas dan enjoy macam orang bujang. Kerana itulah bila mengingatkan perkahwinan Munirah, dia mendoakan agar Munirah tidak menerima nasib yang sama.

Rahimah menganggap apa yang berlaku kepada Salasiah adalah kerana kesalahannya juga. Memang Rahimah pening kepala memikirkan anak-anak perempuannya yang enggan memberi sepenuh komitmen pada rumahtangga. Masing-masing hendak jadi macam orang Barat yang mahu berumahtangga tetapi tidak mahu memikul amanah dan tang-gung Jawabnya. Tidak seperti orang dulu-dulu.

Rahimah terkenang, dia dulu kahwin atas pilihan orang tua. Bila bergelar isteri, seluruh hidupnya diabadikan untuk suami dan keluarga. Orang dulu-dulu jarang nak bercerai-berai. Orang sekarang, bercinta bertahun-tahun tetapi bila kahwin,sekejap sahaja sudah bercerai. Tak serasilah, sudah tidak sehaluanlah. Padahal masa hendak kahwin, masing-masing rasakan itulah pasangan paling tepat untuk dunia Akhirat.

Mungkin salah Rahimah juga kerana gagal mendidik anak-anaknya dengan baik sehingga masing-masing mahu membentuk rumahtangga mengikut selera sendiri. Agama dan adat, sernuanya ditolak ke tepi. Itulah yang berlaku kepada kebanyakan pasangan yang berkahwin hari ini. Sebab itu fail perceraian bertimbun-timbun di pejabat-pejabat agama. Rumahtangga itu ibarat bahtera yang berlayar di tengah lautan. Waktu tenang, mudahlah, tapi bila lautan bergelora, dilanda ribut, memang tak mungkin bahtera itu dapat diselamatkan kalau tidak dikemudi dengan iman dan taqwa. Inilah yang tidak mampu Rahimah sampaikan kepada anak-anaknya kerana dia sendiri bukan mendalam sangat pengetahuan agamanya. Cuma dulu, waktu arwah Pak Adam masih hidup, Rahimah mampu jadi isteri yang taat kerana memang begitu asuhan orang tuanya. Taatnya pada suami bukan bertitik tolak dari iman. Rahimah tahu, kalau dia cuba syarahkan tentang rumahtangga yang baik, pasti anak-anaknya akan berhujah kembali untuk mempertahankan pendapat dan pendirian mereka. Akhirnya yang terdaya dilakukan hanyalah berdoa untuk kebahagiaan mereka dunia Akhirat.

Pada suatu petang Munirah pulang dari kampus dengan wajah ceria. Rahimah yang menyambutnya di pintu, tertanya-tanya kerana selalunya Munirah akan tiba di rumah dengan wajah letih, tidak bermaya.

"Ada berita baik ke…? Semacam aje senyum tu."

"Memang ada berita baik. Kak Sarah call tadi. Dia balik bercuti sebulan. Bolehlah minta tolong dia siapkan hantaran."

"Dia balik seorang ke?" Terbayang wajah anak saudaranya yang telah bertahun-tahun di luar negara.

"Balik satu family. Cuti musim panas. Tapi tak sempat tengok tengok Irah bersanding sebab bulan depan, dia balik ke UK semula."

"Lama tak jumpa Sarah. Macam mana rupa anak dia agaknya. Maklumlah, kahwin dengan orang putih." "Tentulah cute. Tapi anak Irah nanti lagi cantik sebab Razak muka macam mamak, Irah pulak macam Cina," jawab Munirah bersahaja sambil berlenggang ke biliknya.

Rahimah hanya tergelak kecil. Macam-macam angan-angan Munirah. Hari minggu, Sarah muncul di rumah Rahimah bersama suami dan anaknya. Penampilannya cukup mengejutkan Munirah. Dulu sewaktu meninggalkan tanahair untuk menyambung pengajiannya, sepupunya itu lebih selesa berseluar jeans dan berkemeja. Adakalanya dia gemar juga menampilkan imej yang agak seksi. Bagaimanapun had ini dia muncul dengan berjubah dan bertudung labuh. Suaminya, Abu Bakar bin Abdullah pula berseri-seri dengan kopiah di kepala. Satu permandangan yang agak aneh buat Munirah. Sangka Munirah, setelah bertahun-tahun di London, Sarah tentu akan tampil lebih elegant dengan fesyen terkini dari kota fesyen itu.

". Apa khabar bakal pengantin kita?" sapa Sarah sambil bersalaman dan memeluk Munirah.

"Waalaikumussalam. InsyaAllah OK," jawab Munirah dengan sedikit rasa kekok. Rahimah terus mengambil anak Sarah dari dukungan Abu Bakar.

"Comelnya cucu, Tok Tam."

Abu Bakar yang dari tadi hanya tersenyum menghulurkan ole-ole dari Kota London. Rahimah menyambut dengan senyuman. Hatinya cukup tertarik dengan wajah bersih Abu Bakar. "Dah lama kamu masuk Islam?" tanya Rahimah dengan nada ingin tahu.

"Dah hampir sepuluh tahun," jawab Abu Bakar dengan bahasa Melayu berslanga.

"Eh, boleh cakap Melayu, kamu. Mak Tam tak pernah lagi jumpa" Sarah dan Abu Bakar tertawa.

"Untunglah kamu dapat kahwin dengan Mat Salleh. Dapat duduk luar negeri. Dapat anak comel" Kata-kata Rahimah sedikit sebanyak mengundang rasa cemburu di hati Munirah.

"Saya beruntung sebab dapat Mat Salleh yang soleh, Mak Tam. Itu lagi penting. Saya memang malu dengan dia ni sebab dia yang banyak bimbing saya untuk beramal dengan Islam. Mak Tam bukan tak kenal Sarah dulu-dulu. Teruk."

"Memang untung kalau dapat suami soleh. Suami tu, pernimpin rumahtangga. Kalau suami soleh, selamatlah rumahtangga," luah Rahimah sambil fikirannya terbayang-kan wajah Salasiah. Terlupa dia pada Munirah yang sedari tadi hanya diam membisu.

Selang beberapa hari selepas itu, Munirah mengajak Sarah shopping di KL. Dia inginkan pendapat Sarah tentang pakaian yang hendak ditempah untuk malam akad nikah. Seingat Munirah, ‘taste’ Sarah memang bagus. "Masa Sarah kahwin kat UK dulu. siapa yang uruskan persiapan kahwin?" tanya Munirah waktu membelek-belek beberapa pasang baju kurung moden bersulam di sebuah butik.

"Kami kahwin ala kadar sahaja. Yang wajib akad nikahnya. Kenduri pun kawan-kawan yang tolong. Masak sikit-sikit, lepas tu makanlah sama-sama."

"Tak glamourlah gitu. Kahwin kan sekali seumur hidup," tingkah Munirah dengan dahi berkerut.

"Mana Munirah tahu kahwin tu sekali seumur hidup? Jodoh, ajal maut, kan di tangan Tuhan. Entah-entah esok lusa, suami mati. Tak kan tak kahwin lain. Tak pun macam Kak Salasiah. Dah bercerai. Dengar kata, dah dapat calon suami baru. Nanti nak kahwin lagi untuk kali kedua," jawab Sarah dengan lembut sambil matanya turut memerhatikan sulaman yang cantik pada baju kurung yang dipegang Munirah.

"Tapi, ini kan kali pertama Irah kahwin. Kenalah buat semeriah mungkin," balas Munirah. "Ah, perut pun dah berkeroncong ni . Jom kita makan dulu."

Sarah menurut tanpa banyak soal. Sewaktu makan dia cuba untuk memberi panduan kepada Munirah dalam menempuh alam baru.

"Sarah nak tanya pada Irah satu soalan. Apa tujuan Irah kahwin?’

"Aiik! Soalan cepu emas ke ni? Anyway, bagi Irah, kahwin itu adalah untuk menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan wanita. Betul tak. One more thing, memang fitrah manusia itu ingin dikasihi dan mengasihi. Sebab itu Allah ciptakan Hawa untuk Nabi Adam, right?" balas Munirah dengan penuh yakin.

"Itu saja matlamat perkahwinan?"

"What else?"

"Kalau sekadar nak lepaskan naluri seks, buat apa sampai nak berkenduri kendara besar-besaran. Tak berbaloilah macam tu."

"So what?"

"Sebenarnya tujuan perkahwinan itu sangat besar. Niat awal kahwin itu sangat penting untuk menjamin lahirnya satu rumahtangga yang diberkati Tuhan. Nanti perjalanan rumahtangga tu akan dibantu. Tuhan akan pelihara rumahtangga kita sampai rumahtangga tu boleh jadi syurga dunia sebelum Allah beri Syurga di Akhirat."

"Tak sangka pulak engineer boleh jadi ustazah."

"Bukan begitu. Islam itu untuk semua orang dan ia mesti jadi panduan setiap orang," balas Sarah sambil tersenyum, "sebelum Irah melangkah ke alam perkahwinan, eloklah Sarah bagi peringatan dulu. Janganlah bayangkan kahwin tu pada yang indah-indah dan romantik-romantik saja. Nanti akan ada ujiannya, akan ada pahit yang terpaksa di telan. Kalau tak buat persediaan yang tepat, memang rumahtangga tak akan boleh bertahan lama. Rumahtangga boleh jadi neraka tau!" Munirah menyedut minuman dari gelasnya. Masuk juga ke dalam fikirannya kata-kata Sarah itu. Cukuplah apa yang dialami oleh kakaknya Salasiah menjadi bukti kebenaran kata-kata Sarah itu.

"Irah tahu tak, dalam Islam kahwin tu matlamatnya besar dan mulia. Betullah yang Irah cakap tadi. Nak halalkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Itu memang antara tujuan perkahwinan, supaya kita tak terjebak dengan zina. Selain tu, ada lagi yang tidak kurang pentingnya. Kita kena niat kahwin untuk lahirkan generasi Islam seterusnya. Zuriat kita tu adalah aset untuk Islam. Lagipun Rasulullah suka umat yang ramai."

"Tapi rasa-rasanya mak bapak kita dulu tak adalah pasang niat macam tu, tapi kita lahir pun, tetap jadi orang Islam."

"Islam setakat pada nama apa ertinya? Sedangkan pada peribadinya langsung tak melambangkan peribadi mukmin. Kita tengok sekarang macam mana masyarakat kita. Macam-macam masalah sosial. Kronik betul. Muda-muda lagi dah terlibat dengan dadah, seks bebas, jenayah, sampai budak 12 tahun pun dah pandai rogol dan bunuh orang. Itu bukan aset agama namanya. Puncanya dari rumahtangga yang rosaklah tu. Kes-kes sumbang mahram tu. Tahu tak apa puncanya? Something wrong masa akad nikahnya atau semasa proses perkahwinan pun boleh jadi sebabnya. Mungkin sebelum kahwin mak ayahnya dah bergaul bebas, dah biasa buat maksiat. Memang rosaklah keturunan selepas itu."

Munirah termenung. Kegembiraannya untuk menjadi pengantin baru seperti terganggu. Sebelum ini fantasinya hanya yang indah-indah, terutama apabila membayangkan keindahan berbulan madu. Tapi rupa-rupanya banyak lagi persoalan yang menunggu di hadapan.

"Macam tu ke?"

"Iya. Kalau kita rancang perkahwinan kita dengan betul mengikut apa yang Islam gariskan dan kita jaga supaya setiap step ke arah perkahwinan itu sesuai seperti-mana yang Allah kehendaki, insyaAllah rumahtangga kita akan berjaya. Bayangkan kita dapat lahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Bukan saja anak-anak tu boleh bantu kita di Akhirat, di dunia lagi anak-anak tu akan jadi manusia yang berjasa pada agama dan negara. Anak-anak kita juga mampu menjadi manusia-manusia yang akan membangunkan empayar Islam."

"Tingginya angan-angan."

" Ini bukan angan-angan tapi cita-cita, kan Islam pernah menguasai tiga suku dunia. Islam diperjuangkan oleh peribadi-peribadi hebat yang lahir hasil didikan Rasulullah. Sekarang kita simpanlah niat dan cita-cita untuk mengulangi sejarah tu."

"Irah tak layaklah nak buat kerja besar macam tu."

"Memanglah kita ni tak layak. Tapi kita niatkanla nak lahirkan peribadi-peribadi yang layak melalui perkahwinan kita kerana nak dapat keredhaan Allah. Sampai bila hidup kita nak terus terjajah dengan budaya bukan Islam yang sekarang terbukti sangat merosakkan dan merugikan kita. Kalau setakat rugi di dunia, tak apalah. Rugi di Akhirat, siapa nak tolong?"

"Salah ke cara Irah buat persiapan kahwin ni?"

"Tak salah. Tapi ini cuma persiapan lahiriah. Tak payahlah sampai membazir. Yang lebih penting ilmu agama sebagai satu persediaan. Baiki diri, Belajar fardu ain, Feqah juga penting, utk menjaga kebersihan ibadah kita. Betulkan sembahyang. Kuatkan hubungan dengan Allah….Kalau hati sentiasa berhubung dengan Allah, apa-apa problem pun kita boleh atasi. Especially bab nak taat suami. Bukan mudah tau. Lagilah kalau kita rasa kita lebih pandai dari dia. Nanti mulalah nak tunjuk ‘power’. Dalam setiap hal kita akan challenge dia. Habislah rumahtangga kalau isteri pun nak jadi ketua. Dalam rumahtangga ada seni-seninya dan itupun kita kena belajar juga."

"Sarah ni menakutkan Irahlah. Rasa macam kahwin itu suatu yang complicated sangat."

"Bukan niat nak takutkan Irah. Tapi nak Irah bersedia untuk menerima realiti perkahwinan tu sementara masih ada peluang. Nak kahwin pun perlu ada persiapan yang cukup. Bukan setakat pandai masak, pandai bersolek dan hias rumah. Duit atau cinta juga tak akan mencukupi. Bekal yang paling utama ialah iman."

"Sempat ke nak dapat iman tu. Masa tinggal dua bulan lagi."

Sambil tersenyum, Sarah menepuk-nepuk lengan Irah.

"InsyaAllah. Tahu tak orang dulu-dulu, sebulan sebelum kahwin, memang kena berkurung. Sebab nak dapat seri muka. Sekarang, Irah buatlah perkara yang sama. Masa dua bulan ni, manfaatkan untuk tingkatkan ilmu Islam, untuk dapatkan iman. InsyaAllah, nanti Razak akan rasa kahwin dengan Irah ni seolah-olah dia dapat permata berharga. Berbaloilah dengan hantaran kahwin lapan ribu ringgit yang dia terpaksa beri tu."

Munirah tersenyum. Sedikit sebanyak cakap-cakap Sarah itu memberinya satu persepsi baru tentang perkahwinan. Dalam hati dia menyimpan matlamat untuk menimba ilmu agama dengan lebih mendalam dari Sarah sementara Sarah masih di tanah air. Mudah-mudahan rumahtangga yang akan dibinanya itu lebih bermakna lagi.

Cintakita

~TAMAT~

~Kisah Benar….Buat Isteri Tersayang~

Filed under: Uncategorized — mutiarahati at 5:56 am on Sunday, June 5, 2005

Semoga cerita ini dapat kita ambil sebagai pengajaran. InsyaAllah. Buat semua,pada yang dah berkahwin, baru nak kawin ataupun akan kawin nanti, kisah ni biarlah tersemat didalam jiwa semua…

Kira-Kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah (si A), telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut (kerana sakit jantung). Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau.
Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruang tamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.

Si penulis (penulis asal cerita ini) yang kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu. Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah. Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya)pun sampai.

Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.

Penulis yang masih berada disitu merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.
Antara jawapannya ialah:
Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada). Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke atas nama beliau dan anak-anaknya. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).

Untuk makluman, arwah adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju dewasa ini. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah dipinggir Putra Jaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang/Dengkil.

Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Penulis juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya. Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulong masih lagi bersekolah di tingkatan 4 manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.

Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah: 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan dan 20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.

Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putra Jaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya. Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.

Wang tunainya di bank (persendirian diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi.
Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya. Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam. Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima; manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.

Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah proton saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan
oleh isterinya).

Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.

"Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga."

"Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan. Tiada belas kasihannya terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat."

"Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah. Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku. Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab bibik (pembantu rumah). Kain bajuku tidak pernah diuruskan dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga."

"Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku (yang sebagai pengganti ibu)."

Selepas peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah penulis faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada disisi jenazahnya. Marilah kita renungi bersama. Semoga dengan apa yang terjadi di atas akan memberikan satu pengajaran yang berguna kepada kita sebagai umat Islam."

Kisah Romantik Seyh…

Filed under: Uncategorized — mutiarahati at 5:40 am on Sunday, June 5, 2005

Aku amik citer ni kat Blogs Ramlah MS: Beliau pun tarak tau mana beliau dapat ini punyer citer, tapi aku rasa no problemo kalu kite kongsi citer sadis ni sesama kan…so hayatilah THE ROMANCE STORY….yang beliau namakan BEDAH REDAH…apsal beliau taruk nama citer romantik tu cenggitu, aku pun tarak tau, kalau teringin nak tau, ko interview die sendirik ekk(",)

citernye bermula begini…

Sebagai seorang kakitangan kerajaan… bila hari jemaat aje aku suka balik umah.. pasal masa rehat dia panjang. Tapi hari Jemaat tu hujan dengan lebatnya… So? aku tumpang office mate aku sampai depan umah. Rumah aku ni berbukit sikit… Sebelum turun.. akak tu janji nak amik aku pukul 2.30 petang…

Hujan kat luar masih lagi lebat… jam hampir ke 2.30 petang.. aku mandi dan semayang…. lepas tu bersiap siap tunggu akak tadi datang amik aku. Jam dah kul 2.35 aku dah risau.. mana akak ni.. tak sampai sampai lagi…office masuk kul 2.45 ptg.

Tunggu punyer tunggu.. hah.. yang dinanti sudah pun tiba!!!! Keter proton warna cokelat matelik pun berenti kat depan rumah aku. Hujan punyerlah lebat… so aku amik surat kabo lipat tebal tebal takut tudung aku basah…lepas kunci pintu.. aku terus berlari turun… pasal rumah aku berbukit.. aku kene berlari hati hati..

Sampai aje kat keta… aku tak tunggu lagi.. terus bukak pintu dan duduk kat tempat sebelah pemandu.. Tapi kenapa akak tu tak jalan. Aku toleh kat sebelah… Ler… rupanya orang lain!!!! Aku tengok orang tu.. orang tu tengok aku…. Mulut orang tu siap ternganga lagi…

Ish… saper ni?! Camana aku boleh silap ni… abih tu.. kat luar ujan lebat.. takkan aku nak kuar.. aku dengan muka macam kerang busuk berkata,"Err.. bang boleh tulung hantar kat UTM tak?"

Abang tu pun… tak jawap apa2 agaknya pasal masih tergamam lagi.. terus angguk.

Sepanjang perjalanan aku diam… abang tu pun diam… masing masing masih gabra lagi.. Aku lagi ler gabra. EnTah keter sapa aje aku main redah. Aku malu.. bengang.. rasa muka aku dah di tepek-tepek ngan taik… Aku berdoa semoga aku pengsan masa tu.. tapi sayang.. aku tak pengsan pun.

Bila sampai kat destinasi… aku pun turun… lepas ucap tima kasih. Sampai kat opis aku tunggu kakak yang sepatutnya amik aku. Bila kakak tu sampai dia tanya aku,
"Pergi naik apa? Kenapa tak tunggu?"

Maka aku citalah peristiwa yang sadis tu…. Ya Allah.. kakak tu punyerlah gelak gila kat aku… Ishhh!!! Sungguh memalukan. Tapi itu cerita 3tahun lepas… skang ni… Abang yang aku tumpang tu.. dah jadi suami aku He..he..he..

Kekadang bila ingat balik.. ish.. malu sungguh. Suami aku pun kata masa tu dia ingat aku nak rompak dia…. he..he.he.he. Aku pun tanya kenapa masa tu dia berenti kat depan rumah aku… Then.. dia kata dia nak amik beg duit kat seat belakang tu pasal dia berenti. Tapi tau tau aku pulak yang masuk….. He..he..he.. sampai skang ni.. dia masih ejek aku lagi pasal perisitwa kureng tu…

Tapi kalau peristiwa tu tak berlaku. Maybe aku tak jumpa lagi suami aku yang sowang nih? ihiks!!

Romantik kan..kan…kan…

ANUGERAH ISTIMEWA UNTUK KITA HARGAI…

Filed under: Uncategorized — mutiarahati at 5:26 am on Sunday, June 5, 2005

HATI DAN PERASAAN Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.

Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telah pun dibukakan untuk kita.

Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami.

Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah ‘ia’ datang.

Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali! Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda.

Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang.

Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum. Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramat rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar.

Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan.

Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia. Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga.

Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka.

Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam. Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis.

~Puisi Buat Kekasih~

Filed under: Uncategorized — mutiarahati at 8:55 pm on Saturday, June 4, 2005

Engkaukah itu, bisa ku lihat tanpa dikenal,

Bisa ku kenal tak bisa terungkai,

Engkaukah itu, kasih puteri melingkar malam,

Lalu benci menyumpah siang,

Atau engkaukah itu, merdu suara meningkah lagu,

Sebak dada dihambat pilu,

Lembut gaya manis merindu,

Panas kata murung selalu,

Lalu katanya :"Cintaku kau padaku yang rupawan, bisa kau mamah tidak tertelan,

Kata mu hitam bisikmu putih,

Hulu mu geram keris mu sedih,

Kasih menikam rawan beralih,

Berganti malam subuh pun letih,

Gelak senda cubit beralun,

Carik luka hati di hayun,

Tapi mengapa rindu melamun?

Engkaukah itu, menyiram jagat warna pelangi,

Sekeras kerak nasi,

Secantik mawar berduri,

Seteguh rantai besi,

Sewangi ambar kasturi,

Matilah aku cinta kepada mu…

Image06